Saturday, January 25, 2014

ku sematkan kata-kata Pak Ungku di ruangan ini

Pak Ungku Aziz menjelaskan sesuatu kepada sidang pengarang Mingguan Malaysia.
MINGGUAN: Apakah pandangan Pak Ungku tentang perpaduan negara sekarang?
UNGKU AZIZ: Bahasa ialah penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan.
Apakah yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara?
UNGKU AZIZ: Apa yang kita ada sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa depan negara.
Bagaimana Pak Ungku melihat perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang?
UNGKU AZIZ: Pada pandangan saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua.
Hal ini sama kalau dibuat perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu sendiri banyak masalah yang tidak diatasi.
Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti garang dan bersemangat.
Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh.
Pemimpin macam Winston Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?
Kalau pemimpin itu tegas, kalau dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak peduli. Itu pendiriannya.
Orang Melayu kita sejak beratus tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang.
Bagaimana Pak Ungku melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?
UNGKU AZIZ: Harga barang naik kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.
Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang.
Saya dilatih oleh arwah bapa saya supaya tidak berhutang sejak usia saya tujuh tahun lagi.
Saya masih ingat ketika saya berusia 17 tahun, saya mahu membeli kamera tetapi duit saya tidak cukup. Apa yang saya lakukan ialah menyimpan duit dan akhirnya saya berjaya membeli kamera tersebut. Malah kereta pertama yang saya beli tunai ialah kereta terpakai jenis Ford lama.
Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan.
Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).
LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang
Bagaimana Pak Ungku melihat penggunaan bahasa Melayu sekarang?
UNGKU AZIZ: Bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.
Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu.
Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Saya tidak nafikan bahasa Cina (Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.
Apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu.
UNGKU AZIZ: DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika.
Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.
Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.
Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi.
Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika.
Keadaan berbeza dengan Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu.
Apa salahnya kita wujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu. Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan.
Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan.
Bagaimana Pak Ungku melihat peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?
UNGKU AZIZ: Masalah paling utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa, kalau tidak, semuanya akan terlepas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140126/re_01/Pemimpin-mesti-berani#ixzz2rSiDO24Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment